Produk >>Produk Panel

Produk Panel                                                                   

      Rahim, S., Mohd Nor and M.Y. Siti Noralakmam, Y.

 

     Kajian yang menyeluruh telah dijalankan untuk menggunakan sisa-sisa kelapa sawit bagi pelbagai produk komposit seperti papan serpai, papan serpai ikatan simen (CBP), papan serpai ikatan gipsum (GBP) dan papan gentian berketumpatan sederhana (MDF). Sisa-sisa kelapa sawit yang termasuk batang, pelepah dan tandan kosong, boleh diperolehi dengan banyaknya dan masih belum dikomersialkan. Di dalam pembuatan CBP, gentian batang kelapa sawit yang direndam terlebih dahulu di dalam air selama 3 hari didapati memenuhi spesifikasi Piawaian Malaysia untuk papan simen kayu. Penambahan 2% (berdasarkan berat simen) aluminium sulfat atau magnesium klorida juga telah memperbaiki ciri-ciri kekuatan CBP. Kemasukan gentian kelapa sawit di dalam matriks gipsum untuk pembuatan GBP telah memperbaiki ciri produk papan gipsum. Papan dengan ketumpatan minimum 1150 kg/m3 dan nisbah kayu:gipsum 1:2.5 telah memberikan ciri-ciri kekuatan yang setanding dengan GBP yang telah dikomersialkan. Ciri-ciri kekuatan GBP secara amnya telah diperbaiki dengan penambahan ketumpatan dan nisbah gipsum kepada kayu. Papan serpai dengan ketebalan 12 mm diperbuat daripada berkas gentian batang kelapa sawit menggunakan resin urea formaldehid pada ketumpatan papan yang berbeza. Ketumpatan papan harus sekurang-kurangnya 700 kg/m3 dan kandungan resin 8 dan 10% bagi memenuhi keperluan minimum Piawaian British. Secara amnya, ciri-ciri kekuatan papan serpai semakin bertambah apabila kandungan resin dan ketumpatan papan bertambah. Di dalam pembuatan MDF, ciri-ciri kekuatan yang paling tinggi telah dicapai apabila papan yang dihasilkan pada ketumpatan 698 dan kandungan resin 10% (berdasarkan pada berat gentian OPT).