Produk >>Produk Panel

Produk Panel                                                                   

     Rahim, S., Khozirah S. and Zakaria, M.A.

 

     Kajian telah dijalankan untuk menggunakan gentian batang kelapa sawit (OPT) sebagai kayu agregat di dalam pembuatan papan serpai ikatan simen (CBP). Beberapa masalah yang berkaitan dengan penuaian, pengangkutan dan pemprosesan telah dikenalpasti. Walau bagaimanapun, masalah utama yang dihadapi ialah kandungan gula dan kanji yang tinggi di dalam spesis monokotiliden ini. Kehadiran jumlah karbohidrat yang tinggi di dalam kayu agregat, juga memberi kesan kepada ciri-ciri fizikal dan mekanikal CBP yang dihasilkan. Merendam dan menyimpan secara longgok serpihan dan kepingan OPT telah mengurangkan jumlah gula pada kadar yang cepat berbanding dengan menyimpan OPT dalam bentuk batang atau papan. Sejumlah 14 siri CBP telah dibuat daripada kepingan kayu OPT yang telah direndam terlebih dahulu di dalam air dan disusun untuk penyimpanan bagi tempoh 0-14 hari. Keputusan menunjukkan bahawa CBP yang dihasilkan daripada kepingan OPT yang direndam terlebih dahulu mempunyai ciri-ciri mekanikal dan fizikal yang lebih baik berbanding dengan CBP yang diperbuat daripada kepingan OPT yang disimpan dalam bentuk longgokan.