
PENEMUAN BESAR R&D DALAM
PENGGUNAAN SISA KELAPA SAWIT
Pada
awal 1980an, apabila kerajaan mula menjalankan penanaman semula kelapa sawit,
banyak biojisim daripada industri kelapa sawit telah dihasilkan.
Maka, FRIM maju ke depan dengan mengorak langkah ke arah mendapatkan
kaedah yang sesuai bagi menggunakan sisa-sisa ini berdasarkan konsep
menukarkan batang kelapa sawit kepada papan.
Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kemudahan memproses balak
sepenuhnya yang terdapat di FRIM. Walau
bagaimanapun, batang kelapa sawit ini didapati tidak sesuai diproses dengan
jentera dan teknologi yang berkaitan pemprosesan kayu balak kerana perbezaan
ketumpatannya yang besar serta kandungan kelembapan dan silikanya yang
tinggi. Manakala hasil papannya pula adalah rendah (38%), diperolehi
daripada bahagian pangkal batangnya.
Justeru,
kajian seterusnya yang dijalankan adalah untuk mengatasi masalah ini dan
mendapatkan kaedah alternatif terbaik untuk menggunakan biojisim
berlignoselulosa ini. Memandangkan
batang kelapa sawit ini adalah terbentuk daripada dua jenis komponen iaitu
serabut berliang (vascular bundle) dan tisu-tisu lembut (soft ground
tissues), adalah dijangkakan bahawa gentian kelapa sawit ini boleh digunakan
dalam proses pembuatan produk-produk berasaskan kayu seperti papan serpai,
papan ikatan simen dan papan gentian berketumpatan seederhana (MDF).
Selain daripada itu, wujud juga cadangan untuk menghasilkan pulpa
daripada gentian kelapa sawit. Maka,
percubaan selanjutnya adalah menjalankan pengekstrakan gentian kelapa sawit
secara manual untuk diproses bagi menghasilkan produk-produk bernilai tambah
tersebut. Hasilnya, percubaan
tersebut telah memberikan keputusan yang memberangsangkan, namun, masalah
untuk mengekstrak gentian daripada batang kelapa sawit masih tidak dapat
diatasi.
Selanjutnya,
kajian intensif mengenai kaedah yang paling praktikal dalam pengekstrakan
gentian kelapa sawit telah dimulakan oleh saintis FRIM melalui kerjasama
penyelidikan dengan pihak-pihak yang berkaitan dengan industri perladangan
kelapa sawit. Hasilnya, pada
tahun 1995, melalui kerjasama FRIM dengan United Plantations Berhad, sebuah
sistem pengekstrak gentian kelapa sawit daripada batang mahupun tandan
kosong (EFB) dan pelepah telah dibangunkan.
Bertitik-tolak daripada situ, kajian lanjutan telah dijalankan oleh
FRIM dengan sebuah syarikat lain untuk merekabentuk dan menghasilkan sebuah
jentera yang lebih baik. Hasilnya,
sebuah mesin yang dinamakan “Ecofibrex” yang direkabentuk khusus untuk
memproses tandan kosong kelapa sawit kepada gentian telah dibangunkan
bersama oleh FRIM dan Stable Win Palm Oil Mill Sdn. Bhd., iaitu pemegang
paten bersama bagi teknologi ini.
Penemuan
bersejarah ini adalah satu kejayaan besar R&D FRIM dalam kajian
pemprosesan dan penggunaan sisa kelapa sawit yang telah dijalankan selama
beberapa tahun. Rentetan
daripada kejayaan tersebut, pada tahun 1998, sebuah kilang pengeluar MDF
yang berasaskan 100% gentian kelapa sawit sebagai bahan mentahnya telah
dibangunkan oleh Ecofibre Sdn. Bhd., sekali lagi hasil kerjasama
penyelidikan FRIM, kali ini melalui pembiayaan dana IGS.
Kilang ini menggunakan mesin “Ecofibrex” untuk keperluan bahagian
pengeluaran gentiannya. Pada
masa ini, kilang ini berupaya beroperasi pada kapasiti 55 meter padu MDF
sehari yang dihasilkan sebahagian besarnya untuk industri pembuatan kotak
pembesar suara.
Hasil
daripada penggunaan mesin pengekstrak gentian kelapa sawit ini juga, FRIM
telah berjaya membangunkan pelbagai produk bernilai tambah seperti tikar
sungkupan daripada EFB yang kini telah dimajukan ke peringkat komersial oleh
beberapa industri di Malaysia. Selainnya,
produk-produk lain yang turut memperolehi impak daripada penemuan ini adalah
seperti tilam, kompos, komposit kayu-plastik dan makanan ruminan.
Satu
lagi sisa industri kelapa sawit yang boleh dieksploit adalah isirung kelapa
sawit yang dihasilkan daripada proses pengilangan tandan segar kelapa sawit.
Isirung ini boleh diproses untuk dijadikan karbon teraktif di mana
pengeluarannya di peringkat komersial telah menjadi kenyataan melalui
kerjasama FRIM dan KD Technology Sdn. Bhd. hasil pembiayaan dana IGS bagi
projek pembangunan sebuah kilang pandu yang mengeluarkan karbon teraktif
daripada isirung kelapa sawit. Kilang
tersebut telah beroperasi dengan jayanya mulai 1999.
Walaupun kualitinya tidak sebaik karbon teraktif daripada tempurung
kelapa, karbon teraktif berasaskan isirung kelapa sawit ini terbukti telah
mempunyai pasarannya tersendiri berdasarkan permintaan daripada pelbagai
segmen pasaran tempatan dan antarabangsa.
Kini, FRIM terus aktif
menjalankan pelbagai penyelidikan yang berkaitan dalam pemprosesan dan
penggunaan biojisim kelapa sawit. Kajian
intensif terkini antara lain adalah tertumpu kepada pengenalpastian kaedah
terbaik dalam penghasilan kompos daripada sisa kelapa sawit dan penghasilan
geotekstil daripada gentian kelapa sawit.
Kesimpulannya, selain terbukti mempunyai nilai komersial yang tinggi,
sisa kelapa sawit jika diurus dan digunakan dengan cekap dapat menyumbang ke
arah pemuliharaan alam sekitar dan juga atmosfera.
|